Tuesday 15 November 2011

Bantuan Persekolahan RM100 Kepada Semua Pelajar


KUALA LUMPUR: Pihak pengurusan sekolah akan mengeluarkan surat pekeliling kepada setiap ibu bapa atau penjaga meminta mereka hadir pada tarikh ditetapkan bagi pengagihan wang bantuan persekolahan RM100 seorang yang diberikan kerajaan.

Pengagihan wang yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kelmarin, akan diterima secara tunai oleh setiap pelajar dengan ibu bapa atau penjaga perlu hadir bagi menerimanya.
Yang Dipertua Majlis Guru Besar Malaysia (GMGBM), Ruslan Madon, berkata pengagihan secara tunai terus kepada ibu bapa atau penjaga juga yang terbaik bagi memastikan wang itu diterima dengan selamat dan telus.
“Prosedurnya juga mudah iaitu mereka menurunkan tandatangan dan nombor kad pengenalan bagi pengesahan penerimaan.

“Pengagihan itu juga dijangkakan dapat dibuat sebelum sesi pembelajaran tamat 18 November ini supaya ibu bapa dapat membeli keperluan pelajar bagi sesi persekolahan 2012,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, di sini, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran mengenai pemberian bantuan kepada kira-kira 5.5 juta pelajar sekolah rendah dan menengah yang sudah mula disalurkan ke akaun sekolah masing-masing bermula kelmarin.

Presiden Majlis Permuafakatan PIBG Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan, pula berkata proses pengagihan patut diberi masa sehingga tiga hari bagi memastikan ibu bapa dapat mencari kelapangan untuk menghadirkan diri ke sekolah.
Sementara itu, ibu bapa dan pelajar yang ditemui semalam, mengalu-alukan pemberian itu yang disifatkan tepat masanya ketika ibu bapa memulakan perancangan perbelanjaan bagi sesi persekolahan akan datang.

 " 1MALAYSIA : RAKYAT DIDAHULUKAN PENCAPAIAN DIUTAMAKAN "

Sumber : Berita Harian


No comments:

Post a Comment